top of page
Buletin Aktiviti Tahun 2022

MPP TRAINING AND LEADERSHIP COURSE (MTLC) 

SABTU, 9 April 2022 - Barisan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di Politeknik Kuching Sarawak telah menyertai aktiviti "MPP TRAINING & LEADERSHIP PROGRAM ( MTLC ) yang bertempat di Pejabat MPP, kamsis/PKS . Program ini telah dijalankan 2 hari bermula hari Sabtu (9/4/2022) hingga Ahad (10/4/2022). Aktiviti ini diiringi oleh seorang urusetia Politeknik Kuching Sarawak dan juga selaku Penasihat Majlis Perwakilan Pelajar  iaitu Cik Jenniecia Irdrinnie Anak Allay. Program ini bertujuan untuk mengasah kemahiran kepimpinan di kalangan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP)  yang baru dilantik selaku peserta program , membina jalinan kerjasama , ukhuwah serta semangat berpasukan yang jitu di kalangan peserta program. Selain itu juga, para peserta didedahkan serta diberikan penerangan berkenaan aspek pengurusan organisasi serta acara/program pelajar bagi mempersiapkan mereka untuk menjalankan tugas sebagai penggerak badan kelab/persatuan di Politeknik Kuching Sarawak .

PROGRAM PENDIDIKAN PENGUNDI BERSAMA POLITEKNIK KUCHING SARAWAK

SABTU, 23 APRIL 2022 - Politeknik Kuching Sarawak telah mengadakan satu program iaitu Program Pendidikan Pengundi Bersama Politeknik Kuching Sarawak di Dewan Jubli Perak. Program ini dianjurkan bertujuan untuk mendidik pelajar cara untuk mengundi di Pilihan Raya yang akan datang. Dengan adanya pendedahan awal ini, iya dapat membantu pelajar mengetahui serba sedikit tentang SPR dan Pilihan Raya di Malaysia. Program ini telah berjalan dengan lancar dan jayanya pada hari tersebut. Pelbagai topik menarik telah diterangkan secara ringkas oleh penceramah jemputan iaitu daripada pihak SPR. Antara topik yang diceramahkan adalah SPR & Pilihan Raya di Malaysia, Simulasi Proses Pengundian dan Pengiraan Undi, Isu dan Cabaran serta SPR juga telah memberikan kuiz dalam bentuk Kahoot untuk meriahkan lagi suasana di dalam Dewan Jubli Perak. Justeru, diharapkan semua ilmu yang telah diberikan ini dapat digunakan semasa Pilihan Raya yang akan datang serta dapat membantu pelajar mengetahui Pilihan Raya di Malaysia.

PROGRAM INSPIRASI QASEH RAMADAN YaPEIM 

KHAMIS, 28 APRIL 2022 - YaPEIM telah melaksanakan Program Inspirasi Qaseh Ramadan YaPEIM dengan mengagihkan sumbangan 500 pek juadah berbuka puasa kepada pelajar Politeknik Kuching Sarawak. Agihan sumbangan ini telah dijalankan bermula jam 3.00 petang bertempat di Masjid Al Muhandisin yang telah disampaikan bersama-sama Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, YBrs. En Hikmatullah Hajid Ahmad Khan dengan Pn. Siti Aminah binti Dolah@ Abdullah, Ketua Unit Penyelaras Komuniti, YaPEIM Negeri Sarawak. Semoga YaPIEM dimurahkan rezeki dan memperoleh dana serta juga sumbangan bagi membantu golongan sasaran yang berterusan seperti Pelajar PKS yang kebanyakannya merupakan kalangan keluarga kategori B40.

PROGRAM INSPIRASI QASEH KAMI YAPIEM

RABU, 22 JUN 2022 - Program YaPIEM telah dilaksanakan dengan jayanya pada hari tersebut yang bertempat di Bilik Mesyuarat Kualiti, Politeknik Kuching Sarawak. Pada pukul 9 pagi, program ini telah bermula dengan bacaan doa dan diikuti Ceramah 'Hutang Kesannya Dunia & Akhirat oleh Dr. Mohd Hafiz Bin Fauzi iaitu Pengarah Kanan/Ketua Divisyen Sosioekonomi & Amal Jariah YaPIEM. Setelah selesai ceramah tersebut, program ini diteruskan lagi dengan ucapan aluan daripada Pengarah Politeknik Kuching Sarawak, Encik Hikmatullah Bin Hajid Ahmad Khan dan ucapan daripada YBhg. Dato' Haji Mohd Redza Shah Bin Abdul Wahid, Pengerusi Lembaga Pengarah YaPIEM. Simbolik penyerahan sumbangan, penyampaian cenderahati, sesi fotografi dan akhir sekali adalah jamuan telah dilakukan sebelum berakhirnya program ini.

MINGGU SUAI KENAL PELAJAR BAHARU SESI 1: 2022/2023

Pada 14 hingga 19 August 2022, PKS telah mengadakan Program Minggu Suai Kenal Pelajar Baharu Sesi 1: 2022/2023. Minggu Suai Kenal (MSK) merupakan program yang lazim dilakukan pada pada awal semester sesi ambilan semasa. Penyertaan MSK ini adalah diwajibkan kepada semua pelajar baharu bagi menyalurkan maklumatmaklumat penting sesuai dengan keperluan mereka sepanjang tempoh pengajian di Politeknik Kuching Sarawak menerusi sesi-sesi taklimat yang diadakan. Selain itu, MSK ini dilakukan bertujuan untuk menyalurkan input tentang hal-hal berkaitan pengurusan pengajian, akademik, ko-kurikulum, khidmat sokongan pelajar serta peraturan kepada siswa dan siswi baru PKS. Di samping itu, memperkenalkan siswa dan siswi baru PKS kepada Jawatankuasa Kepimpinan Tertinggi Politeknik, Jabatan Akademik serta Jabatan dan Unit Sokongan Akademik/khidmat sokongan pelajar PKS. Selain daripada itu, MSK juga memberi ruang kepada pelajar-pelajar baharu untuk menjalin perhubungan persahabatan antara satu sama lain, disamping mengenali staf-staf ataau pegawai-pegawai di jabatan serta ahli Jawatankuasa Pengurusan Tertinggi PKS. MSK dijalankan selama enam (6) hari bermula Hari Pendaftaran Kolej Kediaman dan diakhiri dengan sesi bersama jabatan akademik pada hari Jumaat Minggu MSK.

SAMBUTAN HARI MALAYSIA 2022

Penganjuran program Sambutan Hari Malaysia 2022 Peringkat PKS pada 15 & 16 September 2022 ini merupakan inisiatif pihak Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PKS dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Jabatan Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (JSKK) serta Jawatankuasa Pelajar Kolej Kediaman (JPKK) bagi  meraikan Hari Malaysia. Ianya juga adalah untuk menyemarakkan semangat patriotisme serta mengukuhkan solidariti sebagai rakyat Malaysia di kalangan warga PKS pada hari tersebut. Pengisian program yang membina jati diri adalah dirangka dan disusun supaya dapat menarik penyertaan yang memberangsangkan dari pelajar. Menerusi aktiviti yang dijalankan, pelajar juga disediakan platform untuk mengekspresikan/menzahirkan rasa cinta atau apresiasi terhadap negara mengikut gaya dan kreativiti masing-masing. Penganjuran program ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme di kalangan pelajar dan warga PKS serta menggalakkan pelajar untuk terlibat secara aktif dalam program bersifat kenegaraan dan integrasi nasional.

bottom of page